10 termasuk tiga wanita ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan

Polis menahan 10 individu berusia 17 hingga 26 tahun dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), awal pagi tadi. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Polis menahan 10 individu berusia 17 hingga 26 tahun dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), dekat sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata tangkapan itu membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut kolej serta pekerja swasta.
"Operasi yang bermula 12.30 tengah malam hingga 4 pagi itu dijalankan dengan menumpukan kawasan antara lampu isyarat Denai Alam dan jejantas Persiaran Elmina bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang semakin membimbangkan.
"Melalui risikan dan pemerhatian di lokasi, polis berjaya mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi ekstrem di lebuh raya kerana perbuatan mereka bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan tiga pegawai kanan dan 77 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor itu turut menyita 10 buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Zaini berkata operasi yang turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut menahan lima lelaki tempatan yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, ganja dan ketum melalui ujian saringan air kencing di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
Beliau berkata kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Pihak polis tidak akan berkompromi dan mempergiatkan operasi penguatkuasaan demi keselamatan pengguna jalan raya.
"Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam aktiviti samseng jalanan ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


