BINTULU: Kurang 24 jam selepas Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat pendedahan di media sosial, kesemua 100 individu yang hilang dan gagal dikesan setelah positif COVID-19 menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Perkara ini disahkan oleh Pegawai Kesihatan Bintulu, Dr Melvin Chung dalam sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu di sini.

"Ada dalam kalangan pesakit tersebut telah berhubung sendiri dengan Pejabat Kesihatan dan bersetuju untuk mendapat rawatan di hospital.

"Kita juga mendapat bantuan pihak PDRM, terutama pesakit-pesakit yang tidak dapat dihubungi.

"Jadi bersyukur juga kita dapat berjumpa pesakit tersebut," katanya lagi.

Kesemua pesakit ini katanya, kini ditempatkan di pusat kuarantin di Hospital Bintulu.

Sementara itu, Pengerusi JPBB Bintulu Jack Aman berkata pihaknya akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan penularan wabak di kawasan itu dapat dikawal secara keseluruhan.

Ia termasuk mewajibkan ujian calitan COVID-19 kepada semua orang yang keluar dan masuk ke Bintulu.

“Kita telah melaksanakan ujian calitan sebelum ini, ternyata ia memberikan kesan yang baik termasuk mengesan kes positif dari luar kawasan Bintulu.

“Bagaimanapun, ada pihak yang tidak puas hati malah membangkitkan persoalan kenapa hanya individu masuk ke Bintulu perlu jalani ujian dan tidak kepada mereka yang keluar dari Bintulu.

“Untuk lebih adil dan demi keselamatan bersama, kami di JPBB Bintulu memutuskan, supaya setiap individu yang ingin masuk dan keluar dari Bintulu perlu menjalani ujian calitan COVID-19,” katanya.