NATIONAL
1,000 peserta Himpunan 1 Mei mula berarak suarakan tuntutan

Individu dari pelbagai latar belakang termasuk orang asal, mahasiswa, pekerja e-hailing, pekerja ladang dan kakitangan pembersihan merupakan antara peserta himpunan sempena Hari Pekerja di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWAN
KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 1,000 peserta menyertai perarakan sempena sambutan Hari Pekerja, di sini, hari ini.
Peserta mula berkumpul di pekarangan Pasar Seni dan berarak sambil menyanyikan lagu Hari Buruh ketika menuju ke Dataran Merdeka sekitar jam 10.30 pagi.
Laungan 'Hidup Rakyat', 'Bangkit Rakyat' dan 'Hidup Buruh' bergema semasa himpunan sambil beberapa peserta memegang poster menyatakan slogan berkaitan himpunan tersebut.
Individu dari pelbagai latar belakang seperti orang asal, golongan mahasiswa, pekerja e-hailing, pekerja ladang, pekerja kesihatan dan kakitangan pembersihan merupakan antara peserta himpunan.Terdapat 63 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berganding bahu dalam menyuarakan 10 tuntutan mereka.
Antaranya ialah, Federasi Pemuda Kebangsaan (FEDERASI), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Suara Siswa UiTM dan lain-lain.
Sepuluh perkara asas yang menjadi tuntutan peserta himpunan adalah isu hak pekerja, perumahan, pekerja migran dan pelarian, alam sekitar, kesihatan, penswastaan, orang asli, hak asasi manusia, kerja penjagaan atau care work dan penggunaan AI.
Turut kelihatan, beberapa anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga lalu lintas demi memastikan himpunan berjalan dengan aman.
Perarakan himpunan Hari Pekerja merupakan amalan yang telah dilakukan sejak 1 Mei 1994 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei di ibu kota.
Ia telah berakar umbi di Malaysia sejak zaman pra-kemerdekaan semasa era 1940-an ketika kesatuan buruh mula ditubuhkan di mana golongan pekerja menyuarakan tuntutan dan bantahan mereka pada hari tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami