Sebanyak 11,000 unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibina di Seremban.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bakal merubah lokasi berkenaan menjadi hab bersepadu aktiviti penduduk kawasan setempat.

"Dalam dasar kita kena bersifat menyeluruh... semua mesti dapat manfaat dari kita. Kita gunakan peruntukan yang ada bagi membantu projek yang lebih rendah harga dari pasaran kepada rakyat," katanya semasa majlis perasmian PR1MA Seremban Sentral.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

Ujarnya,kadar 20 peratus pengurangan harga berbanding rumah lain di Seremban menjadi tarikan kepada golongan pertengahan.

Sekitar kawasan berkenaan sahaja sebanyak 5,000 unit rumah akan dibina di kawasan seluas kira-kira 73 ekar.

Projek bernilai RM2.5 bilion itu terletak di lokasi strategik iaitu di belakang stesen presint KTM Seremban.

Ia bakal menjadi hub akses mudah ke semua kenderaan awam selain kediaman berhampiran pejabat komersial, institusi pendidikan serta pusat membeli belah.

PR1MA Seremban Sentral adalah kerjasama antara PR1MA,Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Railway Assets Corporation (RAC), Keretapi Tanah Melayu (K-T-M), Kerajaan Negeri Sembilan dan pemaju Brunsfield Group.

Sementara satu lagi projek dibangunkan di Seremban Utara yang sebelum ini dikenali dengan nama Ulu Temiang bakal dimulakan tahun ini dengan 6,000 unit rumah.

Selain kaunter pendaftaran pada hari pelancaran,pembeli yang layak turut boleh mendaftar di laman web www.pr1ma.my.

Fasa pertama rumah dijangka siap dan sedia didiami pada 2016.

Sementara itu,Mohamad berkata,PR1MA di Seremban bukti Kerajaan Pusat tidak ketandusan idea dalam mempertingkat ekonomi rakyat.

"Projek ini akan memberi nafas baru kepada bandar Seremban sekali gus membolehkan penduduknya menikmati konsep hidup moden bandar sebenar," ujarnya.

Dianggarkan,lebih 90,000 penduduk Seremban berulang-alik setiap hari ke Lembah Klang.