Sebelas lelaki ditahan akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan dengan menunaikan ibadah solat terawih secara berjemaah di sebuah surau berhampiran Kampung Binsulok, Membakut.

Perbuatan itu terbongkar selepas foto mereka tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak dalam satu kenyataan, kesemua individu berkenaan difahamkan melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 8 malam, Rabu.

"Ekoran tindakan itu, telah tular satu gambar mereka sedang menunaikan solat berjemaah diaplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan kegusaran di kalangan masyarakat setempat.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota telah pergi ke lokasi kejadian dan mencari semula semua individu yang terlibat sepertimana dalam gambar yang telah tular terbabit.

"Kita kemudiannya berjaya menahan 11 daripada 14 orang jemaah yang disyaki solat Isyak dan terawih di surau berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, hasil soal siasat terhadap semua suspek yang berusia antara 15 hingga 41 tahun itu, mendapati mereka mengetahui pelaksanaan PKP dan menyedari tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang kerana sengaja berhimpun.

Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) 2020.