SUNGAI PETANI: Dua belas kali ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan dadah gagal mengisafkan sorang lelaki yang telibat dengan kegiatan pengedaran dadah.

Kali ini lelaki berusia 52 tahun ini sekali lagi dicekup polis ketika cubaannya mengedar lebih satu kilogram dadah jenis heroin di sebuah rumah di Taman Bersatu, dekat Sungai Petani pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Muda kira-kira jam 11 malam.

“Ketika serbuan suspek sedang berbaring di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Hasil pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 901.50 gram dan 70 paket plastik lutsinar dadah heroin dianggarkan berat 121.10 gram," katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, keseluruhan jumlah dadah yang dirampas adalah sebanyak 1,022.60 gram dengan anggaran nilai RM9,000.

“Setiap satu gram dadah dijual sekitar RM20 ke RM30 dan bekalan untuk penagih sekitar daerah Kuala Muda,” jelas Adzli.

Siasatan kes mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai 22 rekod jenayah.

Katanya, daripada semua rekod itu suspek pernah dihukum penjara sebanyak 12 kali berkaitan kesalahan dadah dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.