ROM: Lapangan Terbang Catania di Sicily melanjutkan larangan penerbangan pada Isnin susulan kepulan abu tebal daripada gunung berapi Etna yang mengganggu trafik udara sejak hujung minggu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lapangan terbang berkenaan, yang merupakan lapangan terbang terpenting di pulau Itali itu berkata syarikat penerbangan memindahkan penumpang ke lapangan terbang lain di Sicily seperti Palermo atau Comiso berikutan sekatan terhadap penerbangan berlepas yang dijadualkan berterusan sehingga tengah malam (10 malam GMT).
Pulau Mediterranean itu merupakan destinasi percutian popular, namun pelancong berdepan gangguan selama beberapa bulan apabila abu gunung berapi daripada Etna berulang kali memaksa Lapangan Terbang Catania mengehadkan penerbangan.
Gunung berapi di pulau Itali itu merupakan yang paling aktif di Eropah. Abu kini keluar dari kawah timur laut dan ditiup angin ke arah selatan.
Awan asap berwarna perang kemerah-merahan semakin terbentuk di atas gunung berapi itu dan pada masa tertentu mencapai ketinggian empat kilometer, menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Itali (INGV).
Pakar institut itu berkata keadaan berkenaan bukan petanda fasa letusan eksplosif yang akan berlaku dalam masa terdekat. Sebaliknya, mereka menyifatkannya sebagai fenomena biasa, iaitu sejenis proses “pembersihan” bahagian dalam gunung berapi.
“Seperti pembersih vakum secara terbalik,” kata ahli vulkanologi Marco Neri.
--BERNAMA-dpa