MALAYSIA
13 pelajar UMPSA terselamat dalam nahas bas langgar treler di Maran

Keadaan bas ekspres yang membawa 28 penumpang termasuk pelajar UMPSA. -Foto ihsan PDRM
KUANTAN: Seramai 28 penumpang termasuk 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terselamat selepas bas yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur tengah malam tadi.
Ringkasan AI
- Sebuah bas ekspres yang membawa 28 penumpang termasuk 13 pelajar UMPSA terlibat dalam kemalangan selepas melanggar belakang treler di LPT, namun tiada kecederaan dilaporkan.
- Pelajar UMPSA yang terlibat tiba selamat di kampus Gambang dengan bas ganti, dan menerima bantuan segera termasuk makanan, sokongan emosi, dan tempat tinggal sementara.
- UMPSA menegaskan komitmen terhadap keselamatan dan kebajikan pelajar serta mengingatkan mereka agar sentiasa mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.
"Bagaimanapun, kesemua 28 penumpang, masing-masing seorang pemandu bas dan treler serta kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penumpang bas berkenaan telah dipindahkan ke bas lain untuk ke Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA Prof Dr Yatimah Alias menerusi kenyataan media mengesahkan menerima laporan sebanyak 13 pelajar universiti berkenaan yang menaiki bas awam terlibat dalam kemalangan.
Beliau berkata kesemua pelajar selamat tiba di kampus UMPSA Gambang di sini dengan menaiki bas ganti sekitar 4 pagi tadi.
"Dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), pelajar yang tiba di Masjid UMPSA Gambang disantuni serta diberikan bantuan dan sokongan segera seperti menyediakan makanan, sokongan emosi dan tempat kediaman sementara bagi tujuh orang pelajar kampus Pekan," katanya.
Selain itu, pihak UMPSA juga menyediakan pek bantuan yang mengandungi makanan dan lain-lain keperluan segera kepada pelajar.
"UMPSA sentiasa mengambil serius tentang keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan mengingatkan pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan walaupun di mana mereka berada," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami