GEORGE TOWN: Seramai 1,300 anggota dan pegawai polis  Pulau Pinang akan ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam di negeri itu bagi memastikan kelancaran dan keselamatan upacara yang bermula 17 hingga 19 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, PDRM juga akan dibantu agensi lain termasuk sukarelawan yang disediakan pihak kuil sepanjang sambutan keagamaan tersebut.

Selain itu katanya, seramai 70 anggota polis akan terlibat dalam penugasan mengiringi pergi dan balik pedati emas dan perak yang akan bermula di kuil Arulmigu Balathandayuthabani di  Lebuh Queen menuju ke Kuil Nagarathar Thandayuthapani di Jalan Kebun Bunga.

Soffian berkata perarakan bermula sekitar jam 6 pagi Isnin bagi pedati emas manakala pedati perak akan bermula pada jam 7 pagi sejauh 6.5 km dengan melalui 12 laluan utama.

Manakala bagi perjalanan balik, pedati emas akan bergerak jam 6 petang manakala pedati perak jam 7 malam pada Rabu dengan jarak perjalanan masing-masing sejauh 9.1 km dan 8.7 km.

"Bagi melancarkan perayaan Thaipusam, PDRM Timur Laut  telah  mengatur gerak 1,300 petugas  PDRM Timur Laut dan kita dapat bantuan Polis Gerakan AM, Polis Gerakan Udara, Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan dibantu agensi lain APM, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), RELA dan juga Jabatan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini pada Sabtu .

Selain itu katanya, pihak kuil juga mengambil inisiatif menempatkan sukarelawan di sekitar kawasan kuil bagi memastikan semua penganut yang hadir mematuhi  SOP yang ditetapkan.

Soffian berkata, perarakan pedati dijangka hanya mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam berbanding perarakan sebelum ini yang mengambil masa hampir 20 jam.

"Berdasarkan SOP yang ditetapkan, hanya 100 orang dibenarkan untuk mengiringi setiap pedati. Walau bagaimanapun kita dapat dari pihak kuil kurang dari 100, ia melibatkan jawatankuasa kuil saja seperti arahan dikeluarkan.

"Mereka ini akan diberikan tag khas untuk mereka yang dibenarkan, jadi mana-mana yang tidak ada di dalam senarai tidak akan dibenarkan ikuti perarakan, PDRM akan pantau pergerakan orang ramai," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, beberapa laluan  utama di sekitar negeri itu akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan serta melancarkan sambutan Thaipusam bermula jam 6 pagi hingga 7 malam.

Antara jalan yang terlibat jalan Gotlieb/Jalan Burma, Jalan Brown/Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Air Terjun, Jalan D S Ramanathan/Jalan Gotlieb, Jalan Brown, Jalan Utama/Jalan Wrigh /Jalan Burma.  

Dalam pada itu, Soffian turut menasihatkan orang ramai yang menghadiri upacara semasa sambutan mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan negara masih berdepan pandemik COVID-19.