Sejumlah 134 penghuni Rumah Saba di Skim Penempatan Semula Sekuau di Selangau, kira-kira 44 kilometer dari sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran pada Jumaat.

Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Abdul Mutalib Rashid berkata, kesemua mangsa dari 23 keluarga berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 7.48 pagi dan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikejar ke tempat kejadian dan tiba jam 8.35 pagi.

Selain itu katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Sibu turut menghantar tujuh anggota ke lokasi bagi memberi bantuan.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada 9.30 pagi dan padam sepenuhnya 1.45 tengah hari.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Mutalib berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut.

Sementara itu Pegawai Kebajikan Bahagian Sibu, Ali Taha Ayang ketika dihubungi Bernama memberitahu, mangsa kini ditempatkan di pusat penempatan sementara Dewan Masyarakat Sekuau yang mula dibuka sejak 10.00 pagi.

Mereka akan dibekalkan dengan keperluan asas serta makanan oleh jabatan itu selama seminggu, katanya.

Mangsa yang terlibat terdiri daripada 64 lelaki dewasa, 53 wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan serta seorang bayi lelaki.