Skip to main content

Malaysia

Macron tiba di BSAS, diberi sambutan rasmi negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyambut ketibaan Presiden Emmanuel Macron pada istiadat sambutan rasmi sempena lawatan rasmi Presiden Perancis itu ke Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir ialah pasangan masing-masing, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Brigitte Macron. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyambut ketibaan Presiden Emmanuel Macron pada istiadat sambutan rasmi sempena lawatan rasmi Presiden Perancis itu ke Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir ialah pasangan masing-masing, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Brigitte Macron. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Perancis, Emmanuel Macron diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), di sini, pada Selasa, sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Macron yang diiringi isteri, Brigitte Macron tiba di pekarangan bangunan bersejarah itu sekitar jam 9.25 pagi dan disambut oleh Anwar serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sejurus tiba, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Macron memeriksa barisan kawalan kehormatan utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), diikuti sesi bergambar rasmi kedua-dua pemimpin bersama pasangan masing-masing di ruang legar BSAS.

Advertisement

Macron kemudian menandatangani Buku Pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata bersama Anwar di Balai Tamu, Aras Bawah BSAS.

Berdasarkan atur cara rasmi, kedua-dua pemimpin seterusnya mempengerusikan mesyuarat delegasi Malaysia-Perancis di Dewan Seminar, Aras 1 BSAS bagi membincangkan usaha menaik taraf hubungan dua hala yang terjalin sejak 1957 kepada Perkongsian Strategik.

Advertisement

Selepas mesyuarat delegasi, Anwar dan Macron dijadual meninjau pameran sejarah Kuala Lumpur di Dewan Konfluens sebelum menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) di Dewan Persekutuan 2.

Pertukaran MoU tersebut merangkumi kerjasama strategik dalam bidang mineral kritikal, pertahanan dan keselamatan, peralihan tenaga serta pendidikan tinggi.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang media bersama di lokasi sama sebelum menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan Perdana Menteri di Dewan Persekutuan

Lawatan bermula Isnin hingga Selasa ini merupakan kunjungan pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada Mei 2017.

Dari sudut ekonomi, nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis mencatatkan RM17.78 bilion (AS$4.17 bilion) pada tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, eksport negara ke Perancis merekodkan nilai RM6.05 bilion (AS$1.41 bilion) yang dipacu terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik, manakala import pula mencecah RM11.73 bilion (AS$2.76 bilion) melibatkan kelengkapan pengangkutan, jentera serta bahan kimia.

Secara keseluruhan, Perancis kekal sebagai rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di persada global dan menduduki tangga keempat terbesar di rantau Eropah.

Must Watch Video

Advertisement