Skip to main content

Malaysia

AirBorneo: Kuching-Jakarta kini lebih dekat

Dengan tempoh penerbangan hanya kira-kira satu jam 30 minit dari Kuching, Jakarta kini lebih mudah dikunjungi rakyat Sarawak, sekali gus membuka peluang untuk mereka mengenali lebih dekat budaya, makanan dan gaya hidup penghuni ibu kota Indonesia itu.
Dengan tempoh penerbangan hanya kira-kira satu jam 30 minit dari Kuching, Jakarta kini lebih mudah dikunjungi rakyat Sarawak, sekali gus membuka peluang untuk mereka mengenali lebih dekat budaya, makanan dan gaya hidup penghuni ibu kota Indonesia itu.
Advertisement

KUCHING: Dengan tempoh penerbangan hanya kira-kira satu jam 30 minit dari Kuching, Jakarta kini lebih mudah dikunjungi rakyat Sarawak, sekali gus membuka peluang untuk mereka mengenali lebih dekat budaya, makanan dan gaya hidup penghuni ibu kota Indonesia itu.

Laluan udara baharu itu bukan sekadar memendekkan jarak perjalanan antara kedua-dua destinasi, malah membuka ruang kepada rakyat Sarawak dan Indonesia untuk saling mengenali, berkongsi pengalaman serta meneroka keunikan masing-masing.

Pada 13 Nov lepas, syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo, memperluas rangkaian penerbangannya ke Jakarta menggunakan pesawat Boeing 737-800, sekali gus memperkenalkan pilihan perjalanan terus antara kedua-dua bandar raya berkenaan.

Advertisement

Wartawan Bernama turut berpeluang menyertai penerbangan pergi dan balik itu, selain meluangkan masa sehari meneroka kepelbagaian tarikan metropolitan Jakarta sebelum berlepas pulang ke Kuching pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, laluan berkenaan dirancang bukan sahaja untuk meningkatkan kesalinghubungan udara, malah menyokong pertumbuhan hubungan dua hala, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan antara Sarawak dengan Jakarta.

Advertisement

Dari sudut pelancongan, beliau berkata, laluan itu memberi peluang kepada pelawat Indonesia meneroka Tapak Warisan Dunia UNESCO, keindahan hutan hujan tropika dan kepelbagaian festival di Sarawak.

“Pada masa sama, rakyat Sarawak dan Borneo berpeluang menikmati keunikan gastronomi, fesyen, industri kreatif serta gaya hidup metropolitan di Jakarta,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan penerbangan sulung dari Kuching ke Jakarta.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Wartawan The Borneo Post, Roy Emmor Entai, 45, yang turut menyertai penerbangan sulung itu pula berkata, inisiatif berkenaan merupakan jambatan penting dalam mengeratkan hubungan masyarakat kedua-dua wilayah menerusi perkongsian pengalaman dan budaya.

Bagi penumpang, Mohamad Sofian Bujang, 41, perkhidmatan terus itu amat dinantikan kerana penumpang tidak lagi perlu transit di Kuala Lumpur, sekali gus menjimatkan masa dan memudahkan urusan perjalanan.

Seorang lagi penumpang, Mohd Reza Ali, 40, berharap AirBorneo dapat terus memperluas rangkaian operasinya dengan membuka lebih banyak laluan antarabangsa pada masa hadapan.

Turut senada, Shazreena Ali, 37, yang menyifatkan laluan baharu itu sebagai kemudahan penting kepada anak perantau Sarawak yang bekerja di luar negara untuk pulang ke kampung halaman.

Perkhidmatan penerbangan terus Kuching-Jakarta itu beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan tambang promosi bermula RM399 bagi kelas ekonomi dan RM888 bagi kelas perniagaan.

Menambah keunikan pengalaman perjalanan, penumpang turut disajikan dengan hidangan ikonik Bumi Kenyalang seperti mi kolok, nasi ayam pansuh dan laksa Sarawak goreng.

Sentuhan cita rasa tempatan itu bukan sahaja memberikan kelainan kepada pengalaman penerbangan, malah menjadi antara cara memperkenalkan kekayaan gastronomi Sarawak kepada pelancong dari luar negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement