NATIONAL
144 projek bernilai RM14 bilion berjaya dilaksana Kerajaan Madani di Sabah setakat ini - PM Anwar

Anwar bersalaman dengan orang ramai ketika tiba bagi merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di sini hari ini. - Foto Bernama
TAWAU: Kerajaan Madani telah melaksanakan sebanyak 144 projek pembangunan di Sabah setakat ini, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai projek bernilai RM14 bilion, termasuk menaik taraf Hospital Tawau, Penjara Lahad Datu, pembinaan pelabuhan kontena, dan cadangan pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.
- RM350 juta diperuntukkan bagi Program Solar Madani yang melibatkan pemasangan lampu solar, selain RM10 juta tambahan untuk penyelenggaraan gerai kecil menerusi Projek Siap Tamu Sabah.
- PMR Sabah 2025 bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai inisiatif kerajaan dalam sektor pertanian, digital, dan usaha menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan.
"Kita laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk menangani masalah kos elektrik, kos tenaga, keperluan sekolah anak-anak, tandas, makmal sains, serta keperluan anggota polis dan tentera seperti perumahan dan pembaikan jalan," katanya ketika menyempurnakan perasmian penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini hari ini.
Menurut Anwar, dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Madani, namun beliau mengakui masih terdapat kekangan tertentu.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah menerusi Projek Siap Tamu Sabah.
"Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ini hadiah kepada para ibu yang ramai berniaga di Tamu Desa ini, supaya penambahbaikan yang dilakukan dapat memberi lebih keselesaan agar dapat berniaga dan berteduh daripada kepanasan dan hujan
"Saya tidak mahu menjadi perdana menteri yang melupakan kesusahan rakyat. Sebab itu, kita sentiasa berusaha sedaya upaya membangunkan Sabah daripada aspek kesalinghubungan, teknologi kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta usaha menoktahkan kemiskinan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini, Anwar berkata program berkenaan merupakan platform terbaik untuk rakyat setempat mendapat pendedahan mengenai pelbagai inisiatif, program dan projek yang dilaksanakan kerajaan.
"Ini satu pendedahan kepada rakyat tentang apa yang telah dan sedang dilakukan kerajaan, sama ada dalam sektor pertanian, digital mahupun pertahanan. Jadikan platform ini sebagai ruang pemantauan agar anak muda turut boleh memberi pandangan dan cadangan demi membina Malaysia yang hebat dan maju," katanya.
Bertemakan "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan", PMR Sabah 2025 merupakan inisiatif kerajaan melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju serta Kerajaan Sabah sebagai tuan rumah, bagi membawa perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami