PUTRAJAYA: Sebanyak 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka mencapai status neutral karbon di peringkat bandar menjelang 2050 melalui pelaksanaan strategi rendah karbon yang digariskan dalam Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM).

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata pelan induk tersebut memperkenalkan pendekatan 3M iaitu measurement (pengukuran), management (pengurusan) dan mitigation (pengurangan) khusus bagi pentadbir dan perancang bandar, dalam melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon di kawasan pentadbiran PBT.

Menurut KASA dalam satu kenyataan semalam, NLCCM akan membantu PBT menetapkan hala tuju dan pendekatan yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon, ke arah mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca (GHG).

Pelan induk itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, antara lain merangkumi tiga pemacu dasar dan 24 pelan tindakan yang melibatkan peranan dan sinergi antara kementerian, jabatan, kerajaan negeri, PBT dan komuniti.

Majlis pelancaran diadakan sempena Persidangan Bandar Rendah Karbon Malaysia (MyL3C) yang diadakan secara maya di kementerian itu di sini.

NLCCM merupakan inisiatif di bawah projek Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities atau Pelaksanaan Teknologi Hijau ke arah Pembangunan Bandar-Bandar Rendah Karbon (GTALCC) bagi memacu pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon di Malaysia menerusi pendekatan bersepadu dengan sasaran pengurangan karbon yang jelas.

Menurut KASA, sejak pelaksanaan projek GTALCC pada 2017 sehingga tahun ini, pelbagai tindakan mitigasi perubahan iklim telah dilaksanakan dan 64 PBT telah menerima kelulusan permohonan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK).

KASA turut menggalakkan PBT lain untuk menyertai program GeRAK fasa kedua dengan memohon di www.lccf.my/gerak dan tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Ogos ini.

Sementara itu, Persidangan MyL3C yang berlangsung sehari itu disertai 500 orang terdiri daripada wakil kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan.

-- BERNAMA