KUALA LUMPUR: Tindakan merampas aset bernilai lebih RM409 juta dalam siasatan dakwaan ‘mafia korporat’ membuktikan ketegasan kerajaan MADANI dalam menyelesaikan isu tersebut.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias berkata, pada masa sama, kejayaan tersebut akan membuatkan pemimpin parti Kancil, Datuk Seri Rafizi Ramli 'terkedu' dan berhenti mengkritik mengenai isu tersebut selepas kerajaan MADANI mengambil langkah yang tegas untuk menyelesaikannya.
"Rafizi juga perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil tindakan yang tegas untuk menyelesaikan isu tersebut daripada hanya melalak di luar dan menjadikan isu tersebut sebagai modal politik beliau.
"Nampaknya Rafizi perlu mencari modal politik yang baharu selepas kerajaan berjaya menyelesaikan isu mafia korporat dengan rampasan aset lebih RM400 juta, terutama selepas parti Kancil terhimpit dengan bebas isu khalwat Nik Nazmi Nik Ahmad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan, sebanyak RM37.53 bilion dana dirampas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan siasatan kes jenayah mafia korporat.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu mencerminkan komitmen dan ketegasan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah kewangan, selain memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkesan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini turut berkata, pihak polis telah merampas aset bernilai lebih RM409 juta dalam siasatan dakwaan ‘mafia korporat’ melibatkan penyalahgunaan kuasa menekan ahli perniagaan menjual saham syarikat pada harga di bawah pasaran.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, jelas Saifuddin, 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta dan 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta dibeku atau disita sebagai sebahagian siasatan.
Tambah Saifuddin, polis turut membekukan atau menyita lapan hartanah, 11 kenderaan, dan 417 akaun sistem depositori pusat (CDS).
Mengulas lanjut, Amira menegaskan, pihaknya tidak akan menghiraukan apa jua isu baharu yang akan dibawa Rafizi kerana ia tidak lebih daripada modal politik untuk meracun pemikiran rakyat.
"Adalah lebih baik untuk AMK menumpukan kepada menjelaskan kepada rakyat mengenai prestasi kerajaan MADANI sepanjang lebih empat tahun ini," ujarnya.