Kuala Lumpur: Negara merekodkan kejayaan manis dalam sektor pendidikan apabila 15 buah universiti tempatan tersenarai dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 berbanding hanya lapan pada tahun lalu.

Pencapaian membanggakan tentu sekali buat Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merekodkan lonjakan besar pada edisi tahun ini dengan menduduki tangga 200 teratas.

Edisi kesembilan kedudukan universiti ini juga menyaksikan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membuat kemunculan dalam kumpulan 401+.

Lima daripada enam universiti berprestasi di Malaysia juga memperbaiki serta mengekalkan kedudukan.

Antaranya ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP) naik 13 tangga kepada kedudukan 111, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mengekalkan kedudukan di tangga  ke-119.

Manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) mendaki sembilan anak tangga ke-136 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) naik 10 tangga untuk berada di kedudukan ke-150.

Walaupun Universiti Malaya (UM) turun enam tangga, namun ia tetap berada dalam kumpulan 50 teratas.

Lima universiti Malaysia yang berada di kedudukan lima teratas Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 - Grafik/AstroAWANI

Menurut Ketua Pegawai Ilmu Times Higher Education, Phil Baty, kedudukan ini penting untuk mengukur kekuatan institusi pendidikan tinggi serantau.

"Sangat menakjubkan melihat kedudukan universiti di Malaysia semakin meningkat dan ada juga mengekalkan kedudukan walaupun persaingan semakin hebat.

"Mencapai kedudukan 50 teratas iaitu Universiti Malaya adalah satu kejayaan besar terutama untuk empat tahun berturut-turut membuktikan kekuatannya di peringkat tempatan, serantau mahupun global," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, sangat menarik untuk melihat bagaimana universiti tempatan ini pada masa hadapan mengadaptasi kepada pasca COVID-19.

Walaupun berdepan kesukaran disebabkan COVID-19, jelasnya, ia mungkin akan beri peluang kepada universiti di Malaysia untuk mengekalkan dan menarik lebih banyak lagi pelajar dan para akademik serantau.

Tahun ini, sebanyak 551 universiti dinilai berbanding 489 pada tahun 2020.

Tsinghua University dan Peking University di China menduduki tangga pertama dan kedua kedudukan tahun ini.

Manakala National University, Singapura berada di tempat ketiga.