Ringkasan AI
- Seramai 16 koperasi di Sabah menerima Bantuan Pembangunan SKM berjumlah RM1.19 juta tahun ini, menurut Datuk Ewon Benedick.
- RM5.3 juta disalurkan melalui Tabung Modal Pusingan SKM kepada dua koperasi, manakala dua koperasi menerima geran Tabung Khas Pembangunan Koperasi MINDET fasa pertama.
- COOPFEST Borneo 2026 menghimpunkan 30 koperasi Sabah dan Sarawak serta 10 usahawan, dengan jangkaan 2,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
KOTA KINABALU: Sebanyak 16 koperasi di Sabah menerima Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjumlah RM1.19 juta tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata selain itu, sebanyak RM5.3 juta disalurkan menerusi inisiatif Tabung Modal Pusingan SKM yang memanfaatkan dua koperasi.
“Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut melaksanakan bantuan menerusi Tabung Khas Pembangunan Koperasi MINDET, dengan dua koperasi menerima geran pada fasa pertama.
“Penerima bantuan bagi fasa kedua akan kita putuskan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan COOPFEST Borneo 2026 di Suria Shopping Mall di sini pada Jumaat.
Ewon berkata MINDET juga akan mengemukakan cadangan peruntukan menerusi Belanjawan Sabah 2027 bagi memperkukuh lagi pembangunan gerakan koperasi di negeri ini.
Beliau turut berharap COOPFEST Borneo yang julung kali dianjurkan dapat diteruskan bagi memperkukuh jaringan dan pembangunan koperasi di Sabah dan Sarawak.
Ewon berkata program itu menjadi platform memperluas jaringan perniagaan koperasi Sabah dan Sarawak menerusi peluang pembekalan, perkongsian kepakaran dan peluasan pasaran.
“Koperasi kedua-dua negeri perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing, khususnya dalam sektor pertanian, makanan, pelancongan komuniti, kraftangan dan perkhidmatan,” katanya.
COOPFEST Borneo 2026 menghimpunkan 30 koperasi dari Sabah dan Sarawak serta 10 usahawan TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dengan jangkaan kira-kira 2,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Beliau berkata gerakan koperasi Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan 2,047 koperasi merekodkan keanggotaan 388,683 orang, aset berjumlah RM1.172 bilion dan perolehan sebanyak RM913.33 juta setakat Disember 2025.
Ewon berkata Kerajaan Negeri Sabah melalui MINDET turut memperkukuh keupayaan koperasi menerusi bantuan pembangunan, latihan, peningkatan mutu produk dan peluasan pasaran.
Selain itu, Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET berjumlah RM1 juta tahun ini turut diperluas kepada koperasi, dengan dua koperasi setakat ini menerima manfaat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David.
-- BERNAMA