Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Nov untuk membuat keputusan berhubung cubaan bekas anggota UMNO Anina Saadudin untuk menggantung permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membatalkan saman berkaitan sumbangan RM2.6 bilion.

Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab. Rauf, antara lain, untuk menuntut sebahagian daripada RM2.6 bilion (US$650 juta) sumbangan itu yang didakwa telah didepositkan oleh presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujahan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib, dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili Anina.

Anina telah mengemukakan permohonan untuk menggantung permohonan bagi membatalkan saman itu sementara menunggu keputusan bagi satu lagi samannya yang mencabar pemecatannya sebagai anggota UMNO.

Di luar mahkamah, Mohd Hafarizam memberitahu pemberita, dalam hujahnya beliau menyatakan tiada sebab untuk Anina memohon bagi menggantung permohonan Najib kerana dua saman itu berbeza cirinya.

Mohd Hafarizam berkata plaintif (Anina) sepatutnya memfailkan permohonan penggantungan itu dengan serta merta dan bukan selepas Najib mendapat kebenaran untuk memfailkan pernyataan pembelaan pada 1 Okt.

"Tetapi plaintif memfailkan permohonannya pada 6 Okt. Ini menunjukkan beliau berhasrat untuk melewatkan permohonan kami untuk membatalkan saman itu," katanya.

Mohamed Haniff pula berkata mahkamah perlu menunggu sehingga saman yang satu lagi diputuskan sebelum membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk membatalkan saman itu kerana ia melibatkan status keanggotaan Anina dalam UMNO.

Dalam saman itu, Anina mencabar pemecatannya sebagai anggota UMNO.

Beliau menamakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ab Rauf sebagai defendan.

30 Nov ditetapkan bagi pendengaran permohonan pembatalan yang difailkan oleh Tengku Adnan dan Ab Rauf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman S.Nantha Balan.