Skip to main content

Malaysia

18 pelajar terbaik STPM 2025 akan terima biasiswa universiti awam - Fadhlina

KUALA LUMPUR, 18 Jun -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET, dan SKBMW 2025 di Majlis Peperiksaan Malaysia hari ini.  Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad (kanan).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadhlina Sidek ketika sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2025 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET, dan SKBMW 2025 di Majlis Peperiksaan Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 akan menerima biasiswa daripada universiti awam sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh ekosistem pendidikan prauniversiti, khususnya Tingkatan Enam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, inisiatif baharu itu diumumkan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang STPM serta menggalakkan lebih ramai pelajar memilih laluan pendidikan berkenaan.

Menurut beliau, pemberian biasiswa tersebut merupakan antara langkah yang dilaksanakan secara berterusan oleh  institusi pengajian tinggi awam bagi memperkasakan sistem prauniversiti negara.

“Pada hari ini, satu lagi inisiatif baharu yang telah diumumkan ialah pemberian biasiswa kepada 18 pelajar terbaik STPM oleh universiti-universiti awam.

“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif yang kita teruskan dari semasa ke semasa untuk mengukuhkan ekosistem prauniversiti kita, khususnya Tingkatan Enam.

“Biasiswa yang ditawarkan adalah dalam bentuk tajaan yuran pengajian di universiti awam,’ katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM 2025, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pelajar cemerlang STPM terus mendapat sokongan dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Pada majlis itu, 18 pencapaian terbaik negara menerima anugerah terdiri daripada wang tunai RM1,000, plak dan sijil.

Ditanya mengenai peningkatan keputusan STPM, Fadhlina berkata kemajuan itu didorong oleh pelbagai faktor termasuk penambahbaikan kepada sistem pendidikan Tingkatan Enam yang diutamakan sejak permulaan pentadbiran kerajaan Madani.

“Kerajaan berpandangan Tingkatan Enam berpotensi besar untuk memartabatkan kualiti pendidikan negara.

“Sebab itu pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk penjenamaan semula melalui penubuhan dan pembesaran kolej, pusat dan kelas Tingkatan Enam di seluruh negara,” katanya.

Tambahnya, faktor penyumbang lain ialah pengenalan bantuan persekolahan untuk pelajar Tingkatan Enam, yang sebelum ini tidak diberikan, serta pelaksanaan pelbagai program pengukuhan, termasuk sokongan biasiswa dan inisiatif lain yang berterusan.

Fadhlina berkata kementerian juga telah memperkenalkan peperiksaan ‘tampalan’ STPM, yang membolehkan calon menambah baik keputusan STPM keseluruhan dan memperoleh keputusan dalam tahun yang sama bagi tujuan permohonan kemasukan ke universiti awam.

“Kita ada sistem tampalan. Ini bermakna pelajar yang tidak menunjukkan prestasi baik pada semester pertama boleh meningkatkan keputusan mereka pada semester berikutnya melalui sistem itu.

“Terdapat juga langkah intervensi bagi memastikan pelajar tidak tercicir semasa mengikuti pengajian Tingkatan Enam atau menduduki peperiksaan STPM.

“Saya percaya semua intervensi dan sistem sokongan ini telah menjadi faktor utama di sebalik peningkatan dan kejayaan yang kita lihat, di samping dedikasi yang ditunjukkan oleh guru terhadap pendidikan Tingkatan Enam,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement