KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Hari Keputeraan Ke-66 baginda yang disambut November tahun lepas.

Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan darjah kebesaran negeri kepada 181 lagi penerima yang merupakan sebahagian daripada 212 penerima yang diumumkan pada 3 Nov 2022.

Pada 4 Mac lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 22 individu yang menerima darjah kebesaran dan pingat berkenaan.

Sementara itu, penganugerahan hari ini melibatkan lima penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 23 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (16), Darjah Ahli Mahkota Perak (42), Pingat Pekerti Terpilih (46), Pingat Jasa Kebaktian (40) dan Pingat Lama Perkhidmatan (9).

Penerima PCM hari ini ialah Pengarah Pendidikan Negeri Aznan Alias, Ketua Jabatan Psikiatrik Hospital Taiping Dr Eni Rahaiza Muhamed Ramli, Pakar Patologi Pergigian 94 Hospital Angkatan Tentera Brig Jen Dr Hazudin Hassan, Marsyal Provos Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapten Roslee Mohamad Isa dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Melaka Dr Ruzita Mustaffa.

PMP pula dikurniakan antaranya kepada Jurutera Lembaga Air Perak (LAP) Amarudin Ahmad Barkat, Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Kamaruzzaman Kamari dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak ACP Lee King Chuan.

-- BERNAMA