Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap pihak yang tidak berdosa termasuk pemimpin-pemimpin negara tidak menjadi mangsa dalam isu melibatkan 1MDB.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat boleh menilai tujuan dan matlamat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu berkenaan.

"Kalau ada pihak-pihak tertentu nak menuding jari kepada Perdana Menteri, orang akan fikir sendiri sama ada itu merupakan retorik ke politik ataupun mereka betul-betul nak mencari keadilan dalam isu 1MDB yang telah saya terangkan sebelum ini bahawa ianya perkara serius dan perlu ditangani," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di sini, hari ini.

Tegasnya, bagi seorang yang rasional, isu 1MDB perlu dilihat tanpa emosi dalam mencari kebenaran.

"Saya tengok kesempatan mereka (pembangkang) nak bawa persidangan tergempar di Parlimen, dan percayalah selepas ini mereka akan buat perarakan dan perhimpunan. Itu template (yang) kita sudah biasa.

"Cuma yang penting sekarang untuk orang yang rasional, kita hendak lihat isu ini tanpa emosi dan kita mahukan keadilan, kebenaran. Namun dalam kita nak mencari kebenaran itu, jangan ada pihak tidak berdosa jadi mangsa termasuk pemimpin-pemimpin negara," ujar beliau.

Tegasnya, pihak pembangkang dilihat cuba mempolitikkan isu melibatkan 1MDB termasuk usaha mengadakan sidang tergempar di Parlimen bagi mendesak Perdana Menteri letak jawatan.

"Itu memang kerja dia (pembangkang). Apa jua isu-isu semasa akan diambil kesempatan untuk dipolitikkan. Sebab itu saya menyatakan bahawa pendirian saya sendiri sebagai Naib Presiden UMNO konsisten dalam isu 1MDB," ujar beliau.

Beliau bagaimanapun menegaskan isu 1MDB adalah serius dan perlu ditangani bersandarkan kepada asas kepercayaan, rasionalisasi, dan ketelusan.

"Namun dalam kita nak menanganinya, jangan ada pihak tidak berdosa menjadi mangsa dan dalam proses kita nak menanganinya, perlulah mengikut lunas dan bersandarkan tiga perkara pokok iaitu accountability, rasionalisasi, dan ketelusan," tambahnya.

Ujar beliau, ketiga-tiga perkara asas itu telah diamalkan sejak sekian lama.

"Sebab itu perkara yang berkait dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ada hubungan rapat dengan accountability tadi. PDRM juga maklum bahawa siasatan mereka daripada syor PAC, 20 orang telah disiasat," jelasnya.