KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kakitangan Bank BSI telah menerima tekanan daripada 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDBGIL) untuk mempercepatkan proses pelaburan AS$2.72 bilion ke dalam akaun syarikat yang disasarkan.

Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI Kevin Michael Swampillai, 59, berkata wang dalam 1MDBGIL dan akaun pelanggan berkaitan 1MDB tidak berada dalam akaun syarikat terlalu lama kerana sentiasa ada gesaan yang ditunjukkan oleh syarikat untuk melabur wang itu dalam dana fidusiari secepat mungkin.

Kevin berkata disebabkan itu, kakitangan Bank BSI yang terlibat dalam dana itu seringkali diingatkan mereka mengendalikan urus niaga sensitif dan terikat masa yang melibatkan dana kekayaan negara milik Kerajaan Malaysia dan sikap berpuas hati tidak akan diterima oleh 1MDBGIL.

Katanya beliau tidak terkejut apabila mengetahui sejumlah besar urus niaga dana fidusiari berlaku dalam masa sehari 1MDBGIL menerima AS$2.721 bilion dalam akaunnya di Bank BSI.

"Ketidakselesaan saya dengan urus niaga ini adalah dari hari pertama. Ia tidak khusus kepada 1MDBGIL tetapi lebih kepada semua transaksi yang melibatkan syarikat berkaitan 1MDB. Transaksi berkenaan sekurang-kurangnya dilihat meragukan," katanya.

Kevin berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata beliau memahami tekanan untuk mempercepatkan proses aliran wang datang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kemudiannya menyerahkan kepada seorang lagi Pengurus Perhubungan Bank BSI Yak Yew Chee, yang menguruskan akaun 1MDBGIL.

Muhammad Shafee: Apabila tekanan itu dilaksanakan, satu lagi elemen bendera merah telah dinaikkan. Adakah betul pegawai Bank BSI sentiasa diingatkan bahawa mereka berurusan dengan dana Kerajaan Malaysia?

Kevin: Itu benar.

Peguam kanan itu kemudian bertanya kepada Kevin sama ada beliau mengetahui penglibatan Jho Low dalam 1MDBGIL, yang saksi itu menjawab secara afirmatif.

"Beliau diletakkan sebagai pemboleh dan penasihat (bagi 1MDBGIL). Saya tahu ia tidak jelas tetapi itulah yang disampaikan," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Mei.

Najib, 70, Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

-- BERNAMA