Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak wang MCA Pahang berjumlah RM835,258.19 yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikaitkan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk merampas wang tersebut setelah mereka berjaya membuktikan wang tersebut diperoleh daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Hakim berkata, responden dalam afidavit mereka, tidak menafikan hakikat bahawa mereka telah menerima RM3 juta dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mengakui bahawa wang itu telah habis dibelanjakan.

Bagaimanapun, responden gagal mengemukakan penyata bank untuk menyokong tuntutan mereka

Mahkamah juga menyatakan bahawa tidak ada pihak ketiga yang tampil untuk membantah tuntutan pelucutan wang tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, manakala responden diwakili peguam Datuk Ben Chan dan Ken Low Hai Liang.

Saman pelucutan hak terhadap MCA Pahang adalah sebahagian daripada tindakan pelucutan sivil yang diumumkan oleh SPRM sebelum ini.