Siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum lengkap sepenuhnya kerana masih menanti laporan Jabatan Audit Negara, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Jika kita tidak tunggu laporan Audit Negara nanti siasatan kita tidak lengkap, kita perlu kenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan untuk kita lengkapkan siasatan.

"Siapa dan bila kita (polis) akan panggil itu bergantung kepada laporan Audit Negara," katanya.

Jelas Khalid pasukan khas polis yang menyiasat 1MDB tidak akan melengkapkan siasatan selagi ada maklumat terbaharu.

Ia termasuk dua laporan polis yang dibuat baru-baru ini yang dibuat berhubung siasatan 1MDB.

Laporan yang pertama dibuat di Sungai Petani mengenai kegagalan Bank Negara Malaysia mengenal pasti kelulusan yang diberi kepada 1MDB sebelum ini.

"Pihak 1MDB pula membuat laporan polis mengenai kebocoran maklumat siasatan oleh Jawatankuasa Kira - Kira Wang Negara (PAC) kepada Wall Street Journal dan Sarawak Post.

"Kami akan menyiasat semua laporan itu dan hanya akan melengkapkan siasatan selepas menerima laporan penuh daripada Jabatan Audit Negara," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan VTREC kepada PDRM.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan sebelum ini menyatakan siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai kerana belum merekodkan keterangan saksi utama.

Sementara itu, siasatan Jabatan Audit Negara terhadap akaun 1MDB akan dikeluarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara R. Raja Sunthara Kannan berkata, pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua siasatan yang lebih terperinci berkaitan beberapa unsur yang belum disiasat.

"Fasa pertama siasatan telah selesai tetapi terdapat beberapa maklumat berkaitan luar negara yang perlu diselesaikan.

"Kita jangka akan mengeluarkan laporan siasatan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi," katanya seperti dilaporkan Bernama.