KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi merekod keterangan Datuk Rohana Rozhan pada Isnin.

Menurut sumber, rakaman percakapan Rohana direkodkan selama tiga jam bermula jam 9 pagi di pejabat SPRM Putrajaya susulan pendedahan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Keterangan beliau (Rohana) direkod sekali lagi pada hari ini (Isnin) untuk mendapatkan penjelasan berkaitan beberapa isu.

"SPRM juga telah merampas dokumen kewangan yang berkenaan untuk membantu siasatan," memetik sumber itu lagi, di sini, pada Isnin. 


BACA: SPRM beku aset Rohana Rozhan selepas dakwaan ugutan babit 1MDB


[TERKINI] 1MDB | SPRM rekod keterangan Rohana Rozhan

SPRM telah merekodkan keterangan Rohana selama sembilan jam pada Khamis lalu selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, ia adalah berkaitan pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta (kira-kira RM41.8 juta) kepada Rohana.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebelum ini, perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat mula mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa selepas Leissner memberi keterangan yang dia pernah menjalin hubungan dengan Rohana beberapa tahun lalu.