Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua hari ini tampil memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) susulan kenyataannya mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan 'Malaysian Official One' (MO1).

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, tiba pada kira-kira jam 4 petang bersama Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, di mana proses mengambil keterangan itu berlangsung lebih sejam.

Menurut Pua, SKMM telah memanggilnya selepas menerima lima aduan berhubung dua kenyataannya di laman Facebook peribadinya pada 21 Julai lalu, yang menuduh Perdana Menteri sebagai 'Malaysian Official One' dalam laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataannya di Facebook mengenai 1MDB dan MO1 kerana mendakwa ia adalah antara kenyataan yang diambil daripada laporan DOJ.

Pua pada masa sama menegaskan tidak akan berhenti mengeluarkan kenyataan seumpama itu meskipun berkemungkinan akan dipanggil sekali lagi oleh SKMM.

"Saya tidak akan berhenti mengeluarkan kenyataan seperti ini. Saya akan meneruskan kerja-kerja saya sebagai Ahli Parlimen untuk meminta kerajaan bertanggungjawab terhadap skandal berbilion-bilion dolar," katanya semasa ditemui pemberita di perkarangan pejabat SKMM di sini, hari ini.

Tegasnya, beliau tidak akan memadam dua kenyataan berkenaan di Facebook kerana merasakan tidak ada sebab untuk beliau berbuat demikian.

"Saya juga akan terus memberi tekanan kepada sesiapa yang sepatutnya didakwa dalam 1MDB," kata beliau lagi.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang tidak wajar.