MASA seakan-akan terhenti pada malam 27 Ramadan di Mekah (bersamaan 6 April waktu tempatan) apabila hampir keseluruhan Tanah Haram berkenaan dilimpahi para jemaah yang menunaikan solat.

Foto diambil oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan dikongsikan di laman X Haramain Info berjaya merakamkan momen apabila para jemaah memenuhi saf di Masjidil Haram dan melimpah keluar hingga lebih satu dan dua kilometer dari kawasan masjid.

Sementara itu, laman YouTube MiddleEastEye pula melaporkan seramai 2.5 juta jemaah dianggarkan berada di Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya pada malam berkenaan.

Keadaan sama turut dirakamkan di Kota Madinah, terutamanya di sekitar Masjid Nabawi, yang menyaksikan limpahan jemaah memenuhi masjid dan perkarangannya, sehingga melimpah ke kawasan sekitarnya.

Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaporkan seramai lapan juta jemaah menunaikan umrah pada dua minggu pertama Ramadan.

Sebagai langkah mengatasi kesesakan di Masjidil Haram, Kerajaan Arab Saudi juga memaklumkan jemaah hanya dibenarkan untuk melakukan ibadah umrah hanya sekali sahaja sepanjang Ramadan ini.

Ia juga bagi memastikan semua jemaah mempunyai peluang untuk menunaikan ibadah berkenaan sepanjang berada di Tanah Haram.