Seramai 20 mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih sebagai penerima bantuan pendidikan berjumlah RM960,000 daripada Yayasan Yu Cai (YCF) bagi membiayai pengajian bahasa peringkat sarjana.

Pengarah Urusan YCF, Tiong Ting Ming berkata inisiatif itu selaras dengan teras penubuhan yayasan yang mahu membantu mengurangkan beban perbelanjaan siswazah yang mendalami jurusan pendidikan dan penguasaan bahasa ibunda.

Jelasnya, adalah menjadi harapan dan prinsip yayasan berkenaan bahawa setiap warganegara Malaysia berhak untuk mendapat peluang meningkatkan potensi diri dan berjaya justeru pendidikan adalah kunci utama bagi menjamin masa depan mereka.

Menurut beliau, mereka memilih 20 mahasiswa jurusan bahasa Tamil dan Mandarin kerana rasa perlu ada lebih ramai pendidik yang boleh menguasai kedua-dua bahasa tersebut bagi memenuhi keperluan sekolah vernakular.

Ting Ming berkata, UPSI dipilih sebagai institusi penerima bantuan kewangan tersebut kerana yakin akan kualitinya sebagai pusat pengajian pendidikan tertua yang telah melahirkan ramai guru berkaliber di seluruh Malaysia.

Tambahnya, setiap pelajar akan menerima RM48,000 seorang untuk pembiayaan kursus setiap tahun.

Mengulas mengenai usaha tanggungjawab sosial korporat YCF, Ting Ming berkata sebelum ini pihaknya telah melancarkan pelbagai jenis program bertujuan untuk memperkasakan pendidikan di seluruh Malaysia sepanjang tahun 2015 hingga 2016.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani majlis MOU di antara UPSI dan YCF di bangunan Canselori, UPSI pada Jumaat.

Selain itu, sebanyak RM4 juta ringgit telah disediakan untuk membeli peralatan sains dan teknologi bagi meningkatkan persekitaran kondusif bagi pelajar di sekolah masing-masing.