KEPALA BATAS: Kira-kira 20 rumah mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung akibat ribut di Penaga, di sini semalam.

Kejadian kira-kira 7 malam itu turut menyebabkan puluhan pokok tumbang termasuk menimpa rumah penduduk, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Penyelaras Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Penaga Mohd Naim Salleh berkata sekurang-kurangnya 20 rumah mengalami kerosakan dengan 10 daripadanya rosak teruk pada dinding selain bumbung diterbangkan angin.

"Setakat ini tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana kebanyakannya menumpang di rumah ahli keluarga mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Naim yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kepala Batas berkata UMNO Bahagian berkenaan telah menyalurkan bantuan segera berupa wang tunai kepada semua mangsa.

Selain itu, pihaknya turut mengadakan perbincangan dan membawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pejabat daerah untuk menilai kerosakan rumah mangsa.

Seorang mangsa, Safarina Rasli, 30-an, berkata kejadian berlaku sangat pantas dan menyebabkan rumah ibu bapanya rosak teruk.

"Angin kuat melanda kawasan rumah disusuli hujan lebat menyebabkan rumah dimasuki air hujan apabila bumbung dapur dan hadapan diterbangkan ribut.

"Mujur rumah kami dua tingkat, jadi kami berlindung di ruang tamu," katanya.

Norida Aziz, 40, berkata bumbung dapurnya diterbangkan angin manakala kayu alang rumah patah dan berharap ada pihak sudi membantu pembaikan segera.

"Saya dan keluarga bimbang rumah akan dimasuki air jika berlaku hujan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya telah menerima 10 laporan daripada mangsa terlibat.

-- BERNAMA