KOTA BHARU:Batalion Ketujuh Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan 21 ekor lembu dari Thailand, yang menggunakan taktik meletakkan haiwan itu ke dalam sungai, sebelum diikat dan ditarik menggunakan perahu.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata, pihaknya berjaya mengesan taktik itu selepas melakukan intipan, susulan maklumat awam mengenai penyeludupan melalui pangkalan haram dekat Kampung Simpangan, Tumpat, pada 7.30 pagi tadi.

Beliau berkata taktik penyeludupan melalui sungai itu, susulan kawalan ketat oleh pihak berkuasa di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sempena Op Benteng COVID-19, yang menyukarkan penyeludupan melalui jalan darat.

"Ketika intipan kelihatan tiga individu di atas perahu menarik sejumlah lembu menyeberangi sungai, dari Thailand ke tebing Sungai Golok. Apabila tiba di negara ini, lembu itu disembunyikan di dalam semak bagi mengelak dikesan," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Beliau berkata ketiga-tiga penyeludup berkenaan bagaimanapun berjaya meloloskan diri, selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Siasatan lanjut mendapati kesemua lembu yang dianggarkan bernilai RM126,000 itu, adalah untuk pasaran tempatan di negeri ini.

Kesemua haiwan berkenaan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011.

-- BERNAMA