MERSING: Dua bot nelayan asing Vietnam bersama 21 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing kerana menceroboh di Kuala Mersing pada jam 10 pagi, Jumaat lalu.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kedua-dua bot ditahan aset Maritim Malaysia dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut di kedudukan lebih kurang 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing.

Katanya, kesemua 21 kru warga asing terbabit ditahan bersama peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan, dianggarkan 6,000 kilogram, serta bekalan diesel lebih kurang 5,500 liter, dianggarkan bernilai RM2 juta.

"Pemeriksaan terhadap 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot, warga Vietnam berumur di antara 16 dan 62 tahun, juga gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

"Kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut. Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM2 juta.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Foto ihsan Maritim Malaysia

Tegas Khairul Nizam, pihaknya mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

Foto ihsan Maritim Malaysia