KOTA KINABALU: Sebanyak 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif telah diselesaikan di Sabah sehingga kini dalam usaha memberikan prasarana pendidikan terbaik terutama untuk anak-anak di negeri ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, sebanyak 60 projek pula sedang dalam proses pembinaan dan dijangka selesai tidak lama lagi, manakala baki 60 projek lagi sedang dalam peringkat prabina.

"Semua projek penambahbaikan ini melibatkan peruntukan lebih RM3 bilion, harap semua yang kita rancang ini dapat kita segerakan untuk memberikan kemudahan kepada anak-anak kita belajar dalam persekitaran yang lebih kondusif.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan semua isu pendidikan di negeri Sabah dapat ditangani. Kualiti pendidikan di Sabah akan terus ditingkatkan untuk manfaat anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Kota Kinabalu di Sekolah Kebangsaan Sembulan, di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, program outreach berkenaan penting dalam usaha untuk mencari lebih ramai anak-anak yang tidak mempunyai dokumen di sini bagi memberi peluang kepada mereka bersekolah di SBJK Kota Kinabalu, di sini.

Menegaskan bahawa pendidikan ialah hak setiap anak-anak, Fadhlina berkata, SBJK Kota Kinabalu ditubuhkan pada Oktober tahun lepas itu kini mempunyai lapan pelajar dan mahu lebih ramai anak yang tidak mempunyai dokumen diberikan pendidikan bagi mengubah nasib hidup mereka.

"SBJK ini fokus untuk anak-anak tanpa dokumen sama ada bapa, ibu atau penjaganya warganegara Malaysia, juga tidak bersekolah dan kita mahu beri peluang pendidikan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, SBJK Kota Kinabalu merupakan kesinambungan SBJK Chow Kit, Kuala Lumpur ditubuhkan pada 2013 yang telah terbukti berjaya memberikan peluang pendidikan antaranya kepada anak-anak tanpa dokumen. - BERNAMA