MALAYSIA
2,189 koperasi berdaftar bawah SKM di Selangor setakat Disember 2024

R. Ramanan berucap pada Majlis Taklimat Pembudayaan Koperasi dan Usahawan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 2,189 koperasi berdaftar di Selangor dengan jumlah keahlian melebihi 654,000 orang setakat 30 Dis 2024.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah itu, 121 koperasi ialah milik masyarakat India yang berdaftar, dengan keahlian sebanyak 52,882 orang.
"Gerakan koperasi komuniti India ini juga telah berjaya membawa pertumbuhan aset hingga RM210 juta manakala jumlah share dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM134 juta.
"Prestasi perolehan yang dicatatkan pula berjumlah RM12 juta. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ahli dan pengurusan koperasi komuniti India atas kejayaan ini," katanya ketika berucap pada Program Pembudayaan Koperasi dan Keusahawanan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.Terdahulu, lebih 350 peserta terdiri daripada wakil koperasi, usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri berhimpun pada program perkongsian maklumat berkaitan pembiayaan, latihan dan pembangunan koperasi serta usahawan itu.
Ramanan berkata jumlah berkenaan boleh dipertingkatkan dengan usaha sama agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama-sama koperasi dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya dalam kalangan komuniti India.
"Saya menaruh harapan yang amat tinggi agar koperasi dan usahawan PMKS termasuklah daripada kalangan komuniti India dapat terus berusaha memperkukuh perniagaan dan aktiviti ekonomi yang sedia ada.
"Kita tidak perlu terikat dengan modal perniagaan cara lama dan konvensional. Sebaliknya, kita perlu berfikir di luar kotak dengan mencipta pasaran sendiri menjadi peneraju dalam ruang yang belum diterokai dan menjadi nilai tambah kepada aktiviti perniagaan," katanya.
Dalam masa sama, Ramanan berkata SKM disarankan untuk mempercepat penggunaan aplikasi digital kepada mana-mana koperasi bagi mempromosikan produk mereka dengan kos lebih rendah dan capaian lebih luas.
Katanya, penggunaan kaedah pendigitalan mampu menjadi alternatif kepada koperasi berbanding dengan kaedah konvensional yang menelan belanja tinggi.
Dalam pada itu, beliau hari ini turut menyampaikan bantuan sebanyak RM2.4 juta melibatkan geran pembangunan dalam memperkasakan koperasi komuniti India.
Daripada jumlah itu, RM117,500 merupakan bantuan geran koperasi komuniti India melalui inisiatif Bakti MADANI, RM2 juta untuk pembiayaan Tabung Modal Pusingan manakala RM356,224 melibatkan Inisiatif I-BAP di bawah SME Corp Malaysia kepada enam syarikat milikan usahawan India.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami