IPOH: Sebanyak 222 belia asnaf di Perak diberi peluang mengikuti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), sebagai persediaan membina masa depan lebih baik, berdikari serta berdaya saing.
MAIPk dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa program latihan itu memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu Minyak dan Gas, Automasi Industri serta Kulinari Perkapalan, yang dilihat mampu membuka ruang kepada peserta memperoleh kemahiran serta peluang kerjaya sesuai dengan keperluan industri.
Majlis pelepasan peserta bagi mengikuti latihan terbabit dilakukan Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk Amirudin Osman, di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.
“Lebih daripada sekadar majlis pelepasan, para peserta turut mengikuti sesi motivasi khas sebelum memulakan latihan bagi membina keyakinan diri, mengenal potensi dan membuka minda terhadap peluang yang menanti.
“Mereka didorong untuk melihat latihan ini bukan sekadar sebagai peluang memperoleh sijil kemahiran, tetapi sebagai titik permulaan untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga,” menurut hantaran itu.
Hantaran MAIPk itu memaklumkan sebelum memulakan latihan, kesemua peserta turut diberikan suntikan motivasi bagi membina keyakinan diri, mengenal potensi masing-masing serta memahami peluang yang tersedia menerusi bidang kemahiran.
Bagi sebahagian peserta, peluang mengikuti latihan TVET bukan sekadar mendapatkan sijil kemahiran, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga.
MAIPk memaklumkan latihan itu dirangka bukan sahaja untuk meningkatkan kompetensi peserta dalam bidang teknikal, malah membentuk jati diri, disiplin dan keyakinan sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.
“Setiap peserta adalah amanah dan setiap peluang yang diberikan merupakan harapan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik.
“Inilah TVET MAIPk, mencipta peluang, membina kehidupan. Selamat menjalani latihan kepada seluruh 222 belia asnaf Perak. Jadikan peluang ini sebagai titik tolak untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA