Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal berdepan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat empat hari berturut-turut esok.

Proses rakaman keterangan beliau hari ini, yang merupakan hari ketiga berakhir sekitar 6.30 petang di mana beliau dilihat keluar daripada Ibu Pejabat SPRM itu jam 6.40 petang.

Ia sekaligus menjadikan keseluruhan tempoh proses rakaman keterangan oleh SPRM terhadap Riza mengambil masa hampir 23 jam.

“Beliau perlu hadir semula pukul 10.30 pagi esok di Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan proses rakaman keterangan,” kata sumber.

Pagi tadi, Riza yang berusia 48 tahun itu yang dilaporkan sepatutnya hadir 10.30 pagi, tiba di sini 40 minit kemudian.

Riza yang hadir menaiki kereta jenis Audi dilaporkan memberi keterangan berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, beliau yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perfileman yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, enggan memberi sebarang komen kepada pihak media.

Kelmarin, SPRM mengambil keterangan Riza berhubung perkara yang sama lebih sembilan jam sebelum meninggalkan bangunan suruhanjaya itu kira-kira 10.30 malam.

Semalam, Riza enggan memberi sebarang ulasan kepada media selepas hampir enam jam direkod keterangan.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut mengesahkan bahawa Riza hanya diambil keterangan dan tiada keperluan untuk menahan beliau setakat ini.