NIBONG TEBAL: Sebanyak 23 keluarga terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di Sungai Kechil di sini, dengan sebahagian penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MPKK Sungai Kechil malam tadi.
Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata antara kawasan terjejas ialah Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.
Fadhlina berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, beliau terus ke PPS berkenaan untuk meninjau keadaan penduduk yang terjejas.
"Menerusi Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal, makanan turut disediakan bagi keluarga yang berlindung di PPS selain dihantar ke beberapa rumah mangsa yang terlibat," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menteri Pendidikan itu berkata beliau turut menghubungi agensi berkaitan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar, keperluan asas mencukupi dan kebajikan semua mangsa diberikan perhatian.
Beliau turut menasihati penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, termasuk berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan memerlukan.
-- BERNAMA