Ringkasan AI
- Kawasan mudah banjir di Selangor menurun 82.9 peratus daripada 328 pada 2016/2017 kepada 56 lokasi tahun ini hasil langkah mitigasi kerajaan negeri.
- Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada 56 kawasan berisiko tinggi melalui 47 projek mitigasi dan perancangan jangka panjang untuk menangani masalah saliran.
- Beberapa daerah seperti Dengkil, Kuala Langat dan Hulu Langat kini lebih terkawal, sementara 1,399 mangsa masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara.
KLANG: Jumlah kawasan mudah banjir di Selangor mencatatkan penurunan ketara sebanyak 82.9 peratus, daripada 328 kawasan pada era 2016/2017 kepada hanya 56 lokasi pada tahun ini, susulan pelaksanaan pelbagai langkah tebatan serta penambahbaikan sistem saliran secara berterusan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua lokasi berisiko tinggi yang masih dikenal pasti itu kini diberi tumpuan khusus, menerusi peruntukan 47 projek mitigasi bagi mengurangkan impak bencana.
“Kita akan menumpukan 56 hotspot yang telah dikenal pasti itu, kerana usaha-usaha yang kita lancarkan di Selangor sebelum ini berkesan mengurangkan serta berjaya kita tangani, antaranya di Kampung Bukit Lanchong ataupun Taman Sri Muda di Shah Alam dan juga beberapa kawasan-kawasan lain.
“Tapi kini kita berada pada pergerakan awal monsun, mungkin kita kena tengok perkembangannya daripada semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Peringkat Kebangsaan 2026 di Klang Parade Mall, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPHS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mohd Hanafi Samad dan Pengarah Pendidikan Selangor, Wan Nor Ashikin Abu Kassim.
Mengulas lanjut mengenai skop pelaksanaan inisiatif berkenaan, Amirudin memaklumkan perancangan jangka panjang turut dirangka bagi menangani masalah saliran di kawasan Parit Mahang, Kuala Selangor.
“Ini usaha berterusan dan sudah pasti tiga tempat utama iaitu Kampung Melayu Subang, Kubu Gajah serta di kawasan Puncak Alam merupakan kawasan yang turut diberikan tumpuan kerana sudah terjejas, meskipun pada peringkat awal peralihan monsun.
“Beberapa daerah yang sebelum ini sering terjejas teruk seperti Dengkil, Kuala Langat dan Hulu Langat kini berada dalam keadaan jauh lebih terkawal, hasil keberkesanan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur yang dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan sebanyak 1,399 mangsa daripada 370 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor petang ini, berbanding 1,493 mangsa daripada 398 keluarga pagi tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 420 orang, diikuti SK Dato’ Maharaja Lela (391), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (287), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (119) dan Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114) dan SRA Batu 8 Ijok (68).
-- BERNAMA