KUALA LUMPUR: Seramai 23 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyantuni masyarakat di Sabah menerusi program Together for Borneo: Borneo Community Outreach, dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pendidikan, kebajikan dan khidmat masyarakat.
Program yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos itu membabitkan 21 mahasiswa USM dan dua mahasiswa UMS, dengan pengisian di Kampung Kobuni, Kampung Suang Parai serta UMS.
Inisiatif anjuran People Empowered Act for Community and Empathy (P.E.A.C.E) Club USM dengan kerjasama YOSH UMS Club itu turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk turun ke lapangan, memahami keperluan masyarakat serta membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan menerusi pengalaman sebenar.
Menurut Pengarah Program, Luqman Hakim Samsul Kamal, Together for Borneo: Borneo Community Outreach bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran kepada mahasiswa untuk memahami realiti masyarakat, mengasah kemahiran insaniah dan membina kesedaran mengenai tanggungjawab sosial.
"Program itu turut mencerminkan komitmen P.E.A.C.E Club dalam melahirkan mahasiswa yang prihatin, bertanggungjawab dan bersedia menyumbang kepada masyarakat.
"Di samping, menggalakkan lebih ramai golongan muda menjadi pemangkin kepada perubahan positif menerusi gerakan kesukarelawanan.
"Antara pengisian utama ialah inisiatif 3M (Membaca, Mengaji dan Menulis) bersama pelajar Pusat Mengaji An-Nur, Kampung ABAB, yang menggabungkan pembelajaran interaktif, permainan dan penghayatan agama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menerusi pendekatan itu, sukarelawan membimbing kanak-kanak menghafaz surah menggunakan kaedah visual, kinestetik dan auditori bagi mengenal pasti pendekatan pembelajaran yang sesuai, selain meningkatkan daya ingatan mereka.
Sementara itu, di Kampung Kobuni, yang merupakan satu-satunya kampung Islam di kawasan Inanam, sukarelawan mengagihkan 10 kotak rezeki berupa bantuan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan.
Kampung Kobuni yang turut diiktiraf sebagai lokasi Homestay Desa Cinta Kobuni berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), turut memberi pengalaman kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat dan memahami budaya tempatan.