BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 23 motosikal dan sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) hangus dalam kebakaran di sebuah bengkel di Kampung Guar Perahu, di sini, awal pagi tadi.

Menurut  Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadzil Othman, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.18 pagi berhubung insiden itu.

Katanya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak dan kebakaran itu telah memusnahkan hampir keseluruhan strukur bengkel motosikal terbabit.

Bagaimanapun, tiada mangsa terbabit dalam kebakaran tersebut.

"Sebanyak 23 unit motosikal dan sebuah ATV yang berada dalam bengkel itu turut musnah dengan peratusan kebakaran sebanyak 90 peratus,” katanya hari ini.

Kerja- kerja pemadaman dan pengawalan api dilakukan anggota dan operasi tamat pada jam 5.50 pagi.

Operasi berkenaan turut dibantu jentera dan anggota dari BBP Perai dan BBP Bukit Mertajam.

Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.