Skip to main content

Malaysia

24,761 calon UPKK 2025 dapat 9A

Zulkifli berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Tahun 2025 di SIRAJ Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak pada Rabu. Foto Bernama
Zulkifli berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Tahun 2025 di SIRAJ Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24,761 daripada 251,392 calon Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 mencatatkan keputusan cemerlang memperoleh A dalam semua sembilan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran itu ialah al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) UPKK 2025 secara keseluruhan ialah 1.83 mata berbanding 1.85 pada tahun sebelumnya.

"Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki semua kertas peperiksaan, peratus calon yang mencapai tahap lulus keseluruhan UPKK 2025 ialah 89.61 peratus,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 di sini pada Rabu.

Zulkifli berkata, sebanyak 25,230 calon berjaya mendapat 8A manakala 18,990 lagi memperoleh 7A.

Beliau berkata, jumlah calon berdaftar bagi 2025 ialah 252,997 orang yang menunjukkan permintaan terhadap UPKK semakin meningkat dengan kenaikan sebanyak 5.17 peratus berbanding 2024, iaitu 240,244 calon.

"Jumlah calon tidak hadir menunjukkan penurunan kepada 0.63 peratus berbanding 2024 iaitu 1.36 peratus. Ini menunjukkan keprihatinan ibu bapa dan usaha guru yang berterusan dalam menarik minat murid untuk menduduki UPKK,” katanya.

Bermula 2024, format baharu UPKK diperkenalkan berdasarkan Kurikulum KAFA 2.0 dengan keseluruhan mata pelajaran dinilai melibatkan komponen Pentaksiran Pusat merangkumi mata pelajaran al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab dan Ibadah manakala dua komponen Pentaksiran Bilik Darjah ialah PCHI dan Amali Solat. - Bernama

 

 

Must Watch Video