KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 322 kes positif COVID-19 hari ini dengan 27 daripadanya dikesan menerusi satu kluster baharu dilaporkan di Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif 236,046 kes, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata kluster baharu itu ialah Kluster Jalan Tuaran Bakut melibatkan asrama pelajar siswi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Baru, Tuaran.

Beliau berkata kes indeks merupakan seorang pelajar wanita warga tempatan berumur 20 tahun yang dikesan positif wabak berkenaan melalui ujian PCR pada 27 Nov menerusi saringan bergejala.

"Saringan kontak rapat dan saringan bergejala ke atas 134 orang mendapati 26 kes positif menjadikan jumlah kumulatif 27 kes. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

"Walau bagaimanapun, perebakan jangkitan disyaki berpunca daripada aktiviti pergaulan pelajar di asrama. Semua pesakit telah diasingkan dan diberikan rawatan sesuai," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Masidi berkata Tuaran merupakan antara daerah dalam kumpulan "empat serangkai" yang mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 55 kes, diikuti Kota Kinabalu (53), Ranau (34) dan Kota Belud (25) manakala 16 daerah lain merekodkan kes pada satu angka dengan enam daripadanya sifar kes.

"Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 tidak statik dengan 136 kes direkodkan hari ini dikesan daripada saringan kontak rapat, dan dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian berlaku aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, seramai 321 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif 226,330, manakala 1,195 pesakit masih menerima rawatan.

Sebanyak lima kes kematian dilaporkan masing-masing di Ranau, Lahad Datu, Sipitang, Kota Marudu dan Penampang, katanya.

-- BERNAMA