KUALA TERENGGANU: Seramai 278 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditimpa musibah banjir di Terengganu menerima bantuan berjumlah RM10,000 malam tadi.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim kepada pelajar tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Pondok Moden Tersat di Kuala Berang serta SMA Atas Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.

Amzad berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban dan memulihkan emosi pelajar yang ditimpa bencana pada saat akhir kerana mereka akan menduduki peperiksaan bermula esok.

"Sumbangan ini adalah peruntukan daripada Parlimen Kuala Terengganu tetapi atas dasar keprihatinan terhadap pelajar dan pendidikan, kita salurkan juga sumbangan kepada pelajar dari sekolah di daerah lain.

"Kita harap ia dapat membantu memulihkan semangat pelajar dalam menghadapi peperiksaan penting yang bakal menentukan hala tuju masa depan mereka," katanya kepada pemberita di SMA Atas Sultan Zainal Abidin di sini.

Seramai 131 calon dari SMA Mahmudiah terpaksa menukar pusat peperiksaan ke SMA Atas Sultan Zainal Abidin selepas sekolah mereka dinaiki air hampir dua meter.

Seorang pelajar SMA Mahmudiah, Ahmad Naqiuddin Mohd Zaki berkata dia tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan biarpun tanpa pakaian sekolah yang lengkap.

Dia berkata hampir semua pakaian dan peralatan sekolah miliknya serta rakan lain rosak atau hilang setelah dihanyutkan air banjir yang naik mendadak sehingga melepasi paras pinggang.

"Memang rasa janggal sedikit apabila nak ambil peperiksaan dengan pakai baju biasa dan selipar ditambah lagi terpaksa menumpang sekolah lain.

"Tetapi saya anggap semua ini ujian daripada Allah untuk kami lebih berusaha dan buat yang terbaik dalam peperiksaan SPM," katanya yang terharu dengan bantuan daripada pelbagai pihak.

-- BERNAMA