SEREMBAN: Sebanyak RM825.29 juta atau 94.16 peratus daripada RM876.46 juta peruntukan Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan telah dibelanjakan untuk 292 projek dan program pembangunan di Negeri Sembilan pada tahun ini.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Negeri Sembilan (PPNNS) Roslan Mat Nong berkata daripada keseluruhan 292 projek membabitkan 18 kementerian itu, sebanyak 79 daripadanya telah berjaya dilaksanakan dan disiapkan sepenuhnya termasuk empat projek fizikal berimpak tinggi sekali gus memanfaatkan masyarakat.

"Antara projek berimpak tinggi yang siap sepenuhnya ialah pembinaan Hospital Rembau dekat sini dengan kos keseluruhan bernilai RM147.59 juta dan Klinik Kesihatan (Jenis 5) di Lenggeng (RM10.78 juta).

"Selain itu, Program Perumahan Rakyat Ladang Tanah Merah, Port Dickson berjumlah RM32.75 juta dan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai (RM84.49 juta) dengan keseluruhan empat projek berkenaan bernilai RM275.61 juta," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata pada sepanjang tahun ini juga, PPNNS telah mengenal pasti 15 projek pembangunan fizikal di bawah RMK12 di negeri ini yang dikategorikan sebagai projek lewat jadual atau sakit dengan 11 daripadanya telah berjaya dipulihkan.

Roslan berkata ini melalui tindakan intervensi dan pemantauan proaktif daripada pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri dan pemegang taruh termasuk kementerian berkaitan dan agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya PPNNS kini sedang melaksanakan tindakan pemantauan yang berterusan ke atas baki empat projek yang masih berstatus sakit termasuk menetapkan pelan pemulihan yang perlu dipatuhi oleh kontraktor dan agensi pelaksana bagi membolehkan projek tersebut dapat dipulihkan semula.

"Kita pernah mencapai sifar projek sakit setakat Februari lepas. PPNNS akan terus memantau dan memastikan bilangan projek sakit berada pada tahap minimum atau sifar pada tahun depan.

"Saya optimis ia dapat dicapai melalui kerjasama padu agensi pelaksana dan kementerian berkaitan," katanya.

Beliau berkata PPNNS adalah agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang sentiasa memantau pelaksanaan projek atau program RMK12 di Negeri Sembilan dan antara gerak kerja pemantauan ialah lawatan ke atas projek-projek yang dilaksanakan.

Katanya ini bagi memastikan ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan sekali gus memenuhi hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui projek yang memberi impak secara langsung kepada pertumbuhan sosio ekonomi masyarakat.

Sehubungan itu, Roslan berkata pihaknya akan terus komited bukan sahaja sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan RMK12, malah berperanan sebagai pemudah cara pembangunan di Negeri Sembilan.

-- BERNAMA