SIK: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengenal pasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh negeri ini diteroka secara haram sejak tahun 2011.

Pengarahnya Muhamad Abdullah berkata, penerokaan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu kebanyakannya bagi tujuan pertanian seperti tanaman kelapa sawit, durian dan getah selain pembinaan kawasan penempatan.

"Bagi kawasan yang baru diterokai kita akan ambil tindakan pemusnahan dan tanam semula hutan...bagi kawasan yang sudah lama diteroka dan keluarkan hasil kita akan dapatkan arahan daripada kerajaan negeri untuk tindakan susulan.

"Sejak Januari lalu hingga sekarang kita telah menahan 20 orang lelaki kerana terbabit dengan beberapa kes pencerobohan hutan dan kertas siasatan sedang disediakan sebelum diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program penanaman pokok sempena Kempen Penanaman 100 juta pokok 2021-2025 di Kompartmen 4, Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini hari ini.

Muhamad berkata, aktiviti pencerobohan hutan simpan secara haram menyebabkan kerugian yang tinggi terutama dari segi kemusnahan biodiversiti kawasan hutan yang diceroboh selain kerugian hasil hutan kepada kerajaan negeri.

"Kerugian dari segi biodiversiti memang tidak ternilai, kalau kerugian dari segi hasil hutan kayu balak pula sukar kita nak anggarkan, kita kena kenal pasti keluasan kawasan dan jenis kayu yang diambil," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memulihkan semula kawasan hutan yang diceroboh dengan menanam semula pokok hutan bagi mengembalikan semula kelestarian alam di kawasan berkenaan.

Mengenai kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara, Muhamad berkata JPNK menyasarkan sebanyak 2.75 juta pokok ditanam di kawasan yang dikenal pasti di negeri ini dengan 550,000 pokok ditanam setiap tahun sehingga 2025.

"Kempen ini bertujuan juntuk menggalakkan masyarakat bersama-sama menanam pokok, menghijaukan alam dan mencapai sasaran negara kita untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah di negara kita diliputi pokok dan hutan," katanya.

-- BERNAMA