ALOR SETAR: Tiga anggota polis antara enam ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan dan melarikan peti besi mengandungi hampir RM400,000 daripada sebuah syarikat penghantaran di pusat bandar ini, Rabu lalu.

Ketiga-ketiga mereka yang berpangkat sarjan dan dua koperal itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di daerah Kota Setar dalam serbuan pada Rabu dan Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdahulu dalam kejadian jam 1.30 pagi Rabu itu, sekumpulan perompak memecah masuk premis berkenaan.

Kejadian disedari pengurus syarikat berkenaan yang membuat pemeriksaan selepas mendapati kamera rakaman litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi sebelum menemui kesan umpil pada pintu utama premis terbabit.

Kamarul berkata, pengurus terbabit kemudian membuat laporan sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan.

"Polis berjaya menahan seorang suspek iaitu orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian pada jam 4 pagi hari sama.

"Susulan itu, polis menahan lima lagi suspek iaitu dua daripadanya orang awam Khamis lalu, manakala tiga anggota polis terbabit ditahan pada Jumaat.

"Kesemua mereka ditahan di rumah serta pejabat oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah," katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini, hari ini.

Polis menemui semula wang tunai RM263,295 dan masih mengesan baki kira-kira RM130,000.

Beliau berkata, polis menemui semula wang tunai RM263,295 dan masih mengesan baki kira-kira RM130,000 serta dua lagi suspek.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, siasatan mendapati peti besi itu telah digergaji dan dikopak sebelum kesemua wang didalamnya dikeluarkan.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 50 tahun itu telah direman bermula Jumaat sehingga 1 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah, manakala tiga anggota terbabit negatif.