Polis menahan tiga lelaki termasuk pengurus sebuah pusat hiburan di bandar raya ini kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah selepas polis menemui syabu dan ketamin bernilai RM160,000 disyaki milik mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak ASP Roslan Abdul Wahid berkata mereka ditahan di dalam dua buah kereta di kawasan taman perumahan di Lebuh Lasam di Ipoh pada 11 malam, Ahad lepas.

Hasil pemeriksaan, polis polis menemui satu beg plastik di tembok pagar di kawasan tersebut yang dipercayai diletakkan oleh seorang daripada lelaki itu, katanya pada sidang akhbar.

Katanya beg itu mengandungi lapan paket plastik berisi ketamin seberat 400 gram bernilai RM10,000 dan satu paket plastik berisi syabu seberat satu kilogram bernilai RM150,000.

Roslan berkata, polis turut merampas dua buah kereta itu.

Katanya siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki berusia 30 hingga 47 tahun berasal dari Taiping itu mempunyai kes jenayah lampau iaitu dadah dan curi dan menurutnya mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan.