GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah tiga lagi helikopter bagi melaksanakan penugasan menghantar bantuan bekalan makanan ke lapan perkampungan masyarakat Orang Asli di daerah ini.

Lapan penempatan tersebut membabitkan kawasan pedalaman Pos Lalok, Pos Sau, Pos Bihai, Pos Hau, Pos Tendrik, Pos Sempadik, Pos Belatim dan Pos Balar.

Juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azuna Mohamed Sabri berkata dua helikopter tambahan jenis A109E dan AW18 didatangkan dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, manakala helikopter jenis A139 dari Pangkalan Udara Wilayah Utara.

"Pesawat A109E, AW189 dan A139 digunakan untuk menghantar bantuan makanan di perkampungan Orang Asli yang mempunyai kawasan mendarat yang sempit dan tidak sesuai dimasuki pesawat jenis Mi-17-IV.

"Untuk penerbangan hari ini, A139 ditugaskan menghantar bantuan ke Pos Lalok, Pos Sau, dan Pos Bihai, manakala A109E ditugaskan ke Pos Hau," katanya kepada pemberita di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini.

Pada Ahad, media melaporkan sejumlah 21 tan bantuan bekalan makanan untuk 1,400 keluarga mula dihantar ke beberapa perkampungan Orang Asli menggunakan helikopter Mi-17-IV milik Unit Udara JBPM.

Hampir 7,715 kilogram bekalan makanan dihantar dalam tempoh dua hari lepas menggunakan pesawat Mi-17-IV ke beberapa penempatan masyarakat Orang Asli.

Mengulas lanjut, Mohd Azuna berkata Mi-17-IV hari ini melakukan empat penerbangan ke Pos Balar dan Pos Belatim untuk membawa 391 beg makanan.

Menurutnya operasi yang dijadualkan berlangsung selama lima hari itu turut mendapat kerjasama daripada anggota JBPM Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim bersama Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu Roslina Bun turut hadir membantu menghantar bantuan bekalan makanan ke kawasan pedalaman yang terlibat.

Mohd Syahbuddin berkata beliau berbesar hati dengan sokongan pihak JBPM dalam menyediakan penerbangan ihsan bagi menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli terutamanya di DUN berkenaan yang kini terputus hubungan kerana tanah runtuh.

"Saya berterima kasih kepada Unit Udara JBPM yang menggunakan aset mereka untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di DUN Galas yang tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang untuk mendapatkan bekalan makanan," katanya.

--BERNAMA