Polis berjaya menahan tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Daish untuk merancang melancarkan serangan pada malam sambutan Ambang Merdeka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penahanan dilakukan dalam operasi yang dilakukan bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas pada 27 hingga 29 Ogos lalu di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Katanya, ketiga-tiga suspek merupakan warganegara Malaysia yang menganggotai sel yang sama.

“Mereka menerima arahan dari Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, kuil Hindu di Batu Caves, Selangor serta balai polis atau mana-mana anggota polis dengan menggunakan bom tangan (grenade) atau senjata api pada malam Ambang Merdeka 2016,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Foto PDRM

Menurut Khalid, suspek berumur antara 20 hingga 27 tahun, masing-masing bekerja sebagai pemandu lori, penjual daging dan penjual air.

Turut dirampas, sebutir bom tangan (grenade) jenis K75, sepucuk pistol jenis CZ 2075 Rami 2 dan 24 butir peluru berukuran 9mm.

Kesemua barangan tersebut dibekalkan kepada suspek oleh orang perantaraan (courier) Mohamad Wanndy.

Foto PDRM
“Ketiga-tiga suspek merancang berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas ISIS (Daish) dengan bantuan Mohamad Wanndy selepas berjaya melancarkan serangan tersebut,” katanya.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).