KUALA LUMPUR : 30 hingga 40 peratus sekolah di pedalaman negara ini dikenal pasti masih belum  mempunyai jaringan internet yang stabil. 

Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir menjelaskan, justeru kerajaan perlu memberi perhatian kepada isu berkenaan termasuk mengkaji pelaksanaan dasar 5G.

Zul Fikri berkata, ketika ini, sekolah-sekolah pedalaman terbabit hanya menggunakan internet melalui Terminal Bukaan Amat Kecil (VSAT) yang memerlukan bayaran kos bulanan yang tinggi.

Malah katanya, kos untuk meletakkan VSAT di sesebuah sekolah boleh mencapai antara RM1,000 hingga RM20,000 sebulan.

"Sebelum ini kita sudah ada 1Bestari, sekarang kita sudah 10 tahun terlewat. Keduanya,  kita ada lebih  10,000 sekolah. Kalau kita nak bercakap mengenai pendigitalan sekolah ini kita kena bahagikan kepada tiga kategori yang sangat penting.

"Buat masa ini kategori sekolah bandar tidak ada masalah sangat sebab sekolah boleh pilih sendiri operator. Cuma sekarang ini masalahnya ialah sekolah di semi pedalaman dan pedalaman. Sebab daripada 10,000 sekolah itu, kita ada 30 ke 40 peratus sekolah pedalaman yang hanya guna VSAT," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad. 

BACA: Kementerian Pendidikan siapkan kertas kerja tingkat internet sekolah - Radzi

Ujarnya, selain sebagai pusat pendidikan, sekolah sepatutnya digunakan sebagai "hotspot" untuk masyarakat berhubung dengan dunia luar.

Justeru, katanya kerajaan perlu lebih proaktif dengan menghubungi kawasan-kawasan dan penyedia-penyedia syarikat telekomunikasi bagi menambah baik rangkaian internet di sekolah.

"Syarikat telekomunikasi kadang dia menunggu kerajaan (bertindak), dan kerajaan juga menunggu syarikat telekomunikasi untuk datang kepada mereka. Ini yang kita kena duduk bersama dan berbincang sebab kira tak mahu perkara yang 10 tahun lepas sudah berlaku akan berulang semula. Kita tak mahu lagi kita bercakap tentang soal ini pada tahun 2032 pula nanti," ujarnya lagi.