Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan sebanyak 301,541 bakul barangan keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sejak semalam (Isnin, 20 April), jumlah itu sekali gus memanfaatkan sebanyak 1.2 juta isi rumah dan diagihkan di semua daerah seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,964 bakul makanan telah diagihkan di daerah Hulu Langat.

“Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat yang terkesan berikutan pelaksanaan PKP bagi memerangi penularan wabak COVID-19 termasuk pemberian wang tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Bantuan bakul makanan ini menyasarkan kumpulan rakyat yang terkesan secara langsung khususnya golongan yang terhenti pendapatan harian dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Selain rekod sedia ada JKM, bantuan ini juga disalurkan melalui aduan awam menerusi Bilik Gerakan JKM dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD),” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di flat kos rendah di sini pada Selasa.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail.

Dalam pada itu, Rina turut menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan bantuan berkenaan diberikan berdasarkan kawasan terpilih.

Ujar beliau, JKM sentiasa fokus untuk memastikan bantuan yang diberikan itu sampai kepada golongan sasar serta mereka yang memerlukan.

“Setiap agihan bantuan akan direkod dan selain maklumat JKM, pihak kami turut menerima rujukan melalui pelbagai sumber termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat,” jelasnya.